Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Mesyuarat Ke-26 Menteri Sub-Serantau Isu Jerebu Rentas Sempadan

Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi

​​6_Mesyuarat Ke-26 Menteri Sub-Serantau Isu Jerebu Rentas Sempadan.JPG

MESYUARAT Ke-26 Jawatankuasa Pandu Peringkat Menteri-Menteri Sub-Serantau (MSC Ke-26) Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan yang diadakan di Bandar Seri Begawan.

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 10 Julai 2025

1. Mesyuarat Ke-26 Jawatankuasa Pandu Peringkat Menteri-Menteri Sub-Serantau (MSC Ke-26) Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan telah diadakan pada 10 Julai 2025 di Bandar Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam. Mesyuarat tersebut dihadiri oleh Menteri-menteri, pegawai-pegawai kanan dan/atau wakil-wakil bagi hal ehwal tanah, kebakaran hutan dan jerebu dari Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, Singapura, dan Thailand, serta Timbalan Ketua Setiausaha Sekretariat ASEAN, di bawah Pengerusi Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda Haji Abdul Rashid, Menteri Pembangunan, Negara Brunei Darussalam. Timor-Leste turut hadir sebagai Pemerhati. Delegasi dari Negara Brunei Darussalam diketuai oleh Dayang Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan dan terdiri daripada Pegawai-Pegawai Kanan dari Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC), Jabatan Bomba dan Penyelamat (BFRD), Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD) dan Jabatan Perhutanan. Mesyuarat Kedua Puluh Enam Kumpulan Kerja Teknikal (TWG Ke-26) Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan telah diadakan sebelum Mesyuarat ini pada 9 Julai 2025, dipengerusikan oleh Dayang Hajah Martinah binti Haji Tamit, Pengarah Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Kementerian Pembangunan.

1_Mesyuarat Ke-26 Menteri Sub-Serantau Isu Jerebu Rentas Sempadan.JPG

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda Haji Abdul Rashid mempengerusikan mesyuarat MSC ke-26.

2. Yang Berhormat Menteri Pembangunan menekankan keperluan kritikal untuk pendekatan yang holistik dan lebih bersepadu bagi menangani jerebu rentas sempadan, memandangkan corak iklim yang berubah dan tekanan penggunaan tanah yang semakin meningkat boleh mengakibatkan potensi risiko kejadian kebakaran dan jerebu. Seruan ini dibuat susulan Wilayah Selatan telah mencetuskan Amaran Tahap 1 disebabkan oleh titik panas dan jerebu tempatan yang masih berlaku di kawasan-kawasan tertentu. Yang Berhormat Menteri Pembangunan turut berkongsi bahawa Negara Brunei Darussalam telah melaksanakan langkah-langkah mitigasi secara proaktif untuk menangani jerebu dan kebakaran hutan, dengan memberikan tumpuan kepada pemuliharaan tanah gambut dan pengurusan alam sekitar yang mampan. Selain itu, negara ini telah memperkukuh usaha penyelarasan untuk memupuk hubungan yang lebih rapat, meningkatkan kefahaman, dan menggalakkan kerjasama aktif di kalangan semua pihak berkepentingan yang relevan termasuk agensi kerajaan, pemaju swasta, petani, kumpulan masyarakat sivil, dan komuniti tempatan, semuanya bekerjasama dalam isu-isu pencegahan kebakaran dan jerebu. Usaha-usaha ini juga merangkumi peningkatan kesedaran tentang punca-punca berpotensi dan meneroka penyelesaian yang berkesan terhadap cabaran-cabaran tersebut. Yang Berhormat Menteri Pembangunan seterusnya menggesa semua Negara Anggota ASEAN mengenai keperluan untuk kekal berwaspada dengan memperkukuh lagi keupayaan kesiapsiagaan dan tindak balas mereka, terutamanya dalam menangani jerebu asap rentas sempadan semasa musim kemarau tradisional dan dalam menghadapi perubahan iklim yang tidak menentu.

3_Mesyuarat Ke-26 Menteri Sub-Serantau Isu Jerebu Rentas Sempadan.JPG

DELEGASI Negara Brunei Darussalam yang diketuai oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan dan terdiri daripada Pegawai-pegawai Kanan dari Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi.

3. Mesyuarat mengesahkan semula komitmen mereka terhadap pelaksanaan penuh dan berkesan Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP) dan mengucapkan tahniah atas penerimaan Deklarasi Kuala Lumpur sempena Ulang Tahun Ke-10 Komuniti ASEAN oleh Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46, dan seterusnya mengalu-alukan Pelan Strategik Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) untuk Wawasan Komuniti ASEAN 2045 sebagai rangka kerja panduan bagi ASCC.

4. Mesyuarat itu menghargai penandatanganan oleh semua Negara Anggota ASEAN bagi Perjanjian Penubuhan Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Kawalan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (ACC THPC) dan menantikan penubuhan penuh serta pengoperasian Pusat tersebut di Indonesia untuk memudahkan pelaksanaan AATHP yang lebih pantas dan berkesan bagi menangani pencemaran jerebu rentas sempadan di rantau ini.

5. Mesyuarat mengambil maklum kemajuan baik yang dicapai dalam melaksanakan Pelan Hala Tuju Kedua Kerjasama ASEAN ke arah Kawalan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan dengan Cara Pelaksanaan (Pelan Hala Tuju Bebas Jerebu) 2023-2030 (Second Roadmap on ASEAN Cooperation towards Transboundary Haze Pollution Control with Means of Implementation (Haze-free Roadmap) 2023-2030), Strategi Pengurusan Tanah Gambut ASEAN Kedua (APMS) 2023-2030 (Second ASEAN Peatland Management Strategy (APMS) 2023-2030), dan Rangka Kerja Pelaburan ASEAN untuk Pengurusan Tanah Mampan Bebas Jerebu (ASEAN Investment Framework for Haze-Free Sustainable Land Management). Ini semua adalah penting dalam mendorong visi bersama untuk ASEAN Bebas Jerebu Rentas Sempadan menjelang 2030. Mesyuarat juga mengambil maklum mengenai penganjuran Mesyuarat Pasukan Petugas Ad-Hoc bagi Rangka Kerja Pelaburan ASEAN untuk Pengurusan Tanah Mampan Bebas Jerebu dan Dialog Rakan Kongsi yang bertujuan untuk menyokong ASEAN dan Negara-negara Anggota ASEAN dalam menjalinkan perkongsian pelbagai pihak berkepentingan dan membantu mendapatkan sumber di peringkat tempatan, kebangsaan dan serantau bagi menggalakkan pengurusan tanah mampan dan menangani isu jerebu rentas sempadan dengan berkesan.

6. Mesyuarat mengambil maklum mengenai maklumat cuaca dan asap jerebu Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASEAN Specialised Meteorological Centre, ASMC), serta tinjauan bagi rantau selatan ASEAN. Jumlah titik panas di rantau selatan ASEAN untuk separuh pertama tahun 2025 adalah sekitar 43 peratus lebih rendah berbanding tempoh yang sama pada tahun 2024. Kepulan asap setempat diperhatikan semasa tempoh kering singkat dalam separuh pertama tahun 2025. ASMC melaporkan bahawa status ENSO pada masa ini adalah neutral (bukan El Niño mahupun La Niña), dan dijangka kekal neutral sekurang-kurangnya sehingga Oktober 2025. Berdasarkan tinjauan iklim terkini, ASMC menjangkakan hujan hampir normal hingga melebihi normal di kebanyakan bahagian rantau selatan ASEAN dalam bulan-bulan akan datang. Walau bagaimanapun, risiko kejadian jerebu asap rentas sempadan masih ada kerana titik panas dengan kepulan asap/jerebu masih boleh dijangka di kawasan-kawasan yang mudah terbakar, terutamanya semasa tempoh keadaan yang lebih kering. Mesyuarat turut mengalu-alukan penaiktarafan Sistem Maklumat WMO (WMO Information System, WIS) ASMC, pembangunan prototaip produk kawasan terbakar serantau, Penambahbaikan ramalan musim hujan dan suhu, projeksi resolusi tinggi iklim serantau melalui iklim pembayang visual dalam talian dan inisiatif akan datang di bawah program pembangunan keupayaan serantaunya.

7. Mesyuarat mengambil maklum usaha berterusan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) untuk memperkukuh kapasiti operasi Sistem Penarafan Bahaya Kebakaran Asia Tenggara (Southeast Asia Fire Danger Rating System, FDRS). Mesyuarat mengambil maklum inisiatif-inisiatif utama termasuk pengerahan Stesen Cuaca Bantu Automatik (Automated Auxiliary Weather Stations, AAWS) tambahan di bawah Pengurusan Mampan Ekosistem Tanah Gambut di Malaysia (Sustainable Management of Peatland Ecosystem in Malaysia, SMPEM GEF-IFAD), cadangan penubuhan sistem sandaran FDRS menjelang 2027 untuk memastikan kesinambungan perkhidmatan FDRS, dan perancangan kerjasama dengan Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASEAN Specialised Meteorological Centre, ASMC) dan Pusat Penyelidikan Iklim Singapura (Centre for Climate Research, CCRS) untuk menyokong pembangunan Indeks Cuaca Kebakaran (Fire Weather Indices, FWI) masa hadapan bagi SEA FDRS sehingga tahun 2100.

8. Mesyuarat menghargai pelbagai inisiatif dan tindakan oleh negara-negara MSC dalam pelaksanaan Kajian Semula Strategik Program dan Aktiviti Jawatankuasa Pandu Peringkat Menteri Sub-Serantau (Strategic Review of the Sub-Regional Ministerial Steering Committee Programmes and Activities). Mesyuarat mengambil maklum bahawa penebangan hutan, kebakaran tanah gambut, penyaliran dan penukaran kepada ladang pertanian dan perhutanan, kekal sebagai cabaran kritikal terutamanya di rantau selatan ASEAN. Mesyuarat turut mengesahkan komitmen untuk kekal berwaspada dan mempergiatkan usaha pemantauan kebakaran dan pencegahan jerebu untuk mengurangkan kejadian jerebu asap rentas sempadan dengan kerjasama rakan kongsi dan pihak berkepentingan yang berkaitan.

9. Mesyuarat itu merakamkan penghargaan dan mengucapkan tahniah atas kejayaan penyiapan projek Penggunaan Mampan Tanah Gambut dan Mitigasi Jerebu di ASEAN (Sustainable Use of Peatland and Haze Mitigation in ASEAN, SUPA) / Memperkukuh Pengalaman Serantau mengenai Pengurusan Mampan Tanah Gambut (Strengthening Regional Experiences on Sustainable Peatland Management, REPEAT). Mesyuarat mengambil maklum bahawa projek Tindakan Terukur kearah Bebas Jerebu bagi Pengurusan Tanah Mampan di Asia Tenggara (Measurable Action for HazeFree Sustainable Land Management in Southeast Asia (MAHFSA)) akan tamat tidak lama lagi, dan mengalu-alukan projek Pendekatan Bersepadu untuk Perlindungan Iklim dan Penambahbaikan Kualiti Udara di Asia Tenggara / Sub-rantau Mekong (Integrated Approaches to Climate Protection and Air Quality Improvement in Southeast Asia / Mekong Sub-region, SEACAI) yang akan datang. Mesyuarat menekankan keperluan untuk meluaskan dan mendalamkan kerjasama dengan Rakan Kongsi dan pihak berkepentingan dalam memperkukuh kerjasama di peringkat tempatan, kebangsaan dan serantau untuk ASEAN bebas jerebu, serta pemerkasaan komuniti bagi pengurusan kebakaran dan jerebu yang berdaya tahan iklim.

10. Mesyuarat menantikan penganjuran Mesyuarat Ke-20 Jawatankuasa di bawah Persidangan Ahli-ahli Parti kepada Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (COM-20) dan Mesyuarat ke-20 Persidangan Ahli-Ahli Parti kepada Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (COP-20) pada September 2025 di Malaysia.

4_Mesyuarat Ke-26 Menteri Sub-Serantau Isu Jerebu Rentas Sempadan.JPG

5_Mesyuarat Ke-26 Menteri Sub-Serantau Isu Jerebu Rentas Sempadan.JPG

SESI bergambar ramai.

11. Mesyuarat merakamkan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negara Brunei Darussalam selaku tuan rumah Mesyuarat MSC Ke-26 dan mengambil maklum mengenai Mesyuarat MSC Ke-27 yang akan diadakan di Indonesia pada tahun 2026.

Sumber: Siaran Akhbar Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi.

Attachments